Thursday, April 12, 2007

Tentang 'Blogging'

'Kegiatan menulis jurnal di alam maya atau 'blogging' lebih banyak mendatangkan keburukan.'

Saya tidak setuju dengan ayat tersebut. 'Blogging' memang kegiatan yang amat popular pada zaman ini. Kebanyakan orang yang mempunyai Internet juga mempunyai sebuah 'blog', atau jurnal di alam maya.

Kebanyakan 'blog' ini adalah jurnal peribadi di mana seorang individu mencatatkan apa yang berlaku dalam hidunya, dan juga untuk meluahkan perasaan. Apa yang ditulis itu lestari, tetapi boleh dibuang jika diinginkan. Oleh kerana itu, orang mencatatkan pengalaman-pengalaman mereka di 'blog', supaya tidak akan dilupai atau hilang kerana boleh dibaca pada masa depan.

Keburukan 'blog' adalah bahawa pengguna dapat mengawamkan tulisan-tulisannya supaya dapat dibaca sesiapa sahaja yang melawati lelamannya itu. Lagipun, kebanyakan 'blog' percuma, lalu senanglah untuk sesiapapun mendapatkan akaun. Masalahnya timbul apabila ada orang yang menulis perkara-perkara yang buruk tentang orang lain. Oleh kerana 'blog' itu berbentuk awam, khabar tentang orang itu akan tersebar dengan cepat, tidak kira jika ia betul ataupun tidak. Situasinya sama jika seseorang itu menulis tentang diri sendiri. Dalam jangka masa yang agak singkat, seorang boleh menjadi bahan ejekan atau kebencian orang ramai. Ini akan mencemari nama baik seseorang kerana gosip senang berputar ligat, dan kadangkala berubah menjadi lebih buruk.

Selain daripada menulis tentang keburukan seseorang, informasi peribadi dan rahsia-rahsia seseorang boleh diterbitkan di 'blog'. Misalnya, gambar seseorang dengan informasi seperti alamat ataupun nombor telefon boleh dipaparkan. Orang itu kemungkinan boleh diganggu oleh orang-orang yang tidak dikenali melalui telefon ataupun 'dilawat' di rumah sendiri. Informasi dan rahsia-rahsianya akan diketahui orang lain, dan ia akan berkesan ke atas aspek sosial dan mungkin menjejas pekerjaannya. Ini kerana nama baiknya akan tercemar dan akhirnya menyusahkan hidupnya sahaja. Perbuatan-perbuatan ini boleh dibuat secara nyata, ataupun dengan menggunakan identiti yang ringkas. Jika ia fakta palsu, susah untuk ditangkap orang yang melakukannya. Tetapi ada juga orang yang sengaja menulis perkara-perkara ini dengan menyatakan identiti mereka yang sebenar. Perlakuan begitu mengakibatkan perbalahan di antara kawan-kawan, ataupun pekerja-pekerja hingga lemah lah semangat seseorang dan merosotlah kualiti kerjanya. Dalam kes yang serius, ia boleh mengakibatkan kemurungan yang keterlaluan dan seterusnya kes bunuh diri.

Selain itu, komen-komen buruk tentang bengsa ataupun agama lain boleh juga mengakibatkan perbalahan. Ini kerana terdapat sesetengah orang yang akan mempercayai apa yang ditulis kerana tidak tahu perkara yang sebenar. Ini akan merosakkan keadaan yang harmoni di antara kaum-kaum bangsa dan agama lain. Di negara seperti Singapura, kesannya lebih buruk kerana kita mempunyai beberapa kaum yang tinggal dan bekerja bersama-sama di negara ini. Jika berlaku perbalahan antara kaum, ia akan menjejas ketenteraman dan menghalang kemajuan negara Singapura.

Bagaimanapun, yang tersebut tadi adalah kes yang amat serius dan keterlaluan. Kebanyakan orang sebenarnya tidak akan menulis perkara-perkara yang buruk tentang kaum lain kerana mungkin takut ditangkap atau tahu ia akan berkesan ke atasnya nanti. Selain itu, kebanyakan orang juga tidak akan menerbitkan rahsia-rahsia sendiri ataupun meluahkan perasaan dengan berkata yang bukan-bukan tentang seterunya. Ini kerana 'blog' juga ada fungsi yang membolehkan seseorang menyimpan penulisannya tanpa perlu diterbitkan. Selain itu, ada juga 'blog' yang hanya boleh dibaca orang tertentu sahaja atau yang mempunyai kata laluan yang tertentu. Kebanyakan orang tidak akan menerbitkan penulisan-penulisan yang keterlaluan itu kerana jika berlaku pergaduhan, dia sendiri akan terlibat, kerana alamat 'blog' seseorang pasti diketahui oleh rakan atau pekerja yang dikenalinya, dan lambat-laun pasti diketahui siapa yang menulis perkara-perkara yang negatif itu.

Selain itu, ramai orang sekarang tahu bahawa bukan semua penulisan di Internet boleh dipercayai, terutama sekali yang terdapat di dalam 'blog' kerana ia hanya pandangan dan perasaan seorang individu. Oleh kerana itu, saya rasa kegiatan 'blogging' dalam kenyataan tidak begitu buruk kerana ia juga ada kebaikannya seperti dapat menyimpan kenangan, berkomunikasi dengan orang lain di Internet dan juga berkenalan dengan kawan-kawan yang baru. 'Blogging' sesuatu yang tidak berbahaya jika setiap pengguna tahu akan bahaya penyalahgunaannya, dan mengelakkan diri daripada terlibat dalam perkara yang mendatangkan keburukan.

No comments: